Please use this identifier to cite or link to this item: http://ptsldigitalv2.ukm.my:8080/jspui/handle/123456789/774031
Title: Kesan 5,10-pentadesenil resorsinol yang dipencilkan daripada daun Labisia Pumila Var.Alata ke atas aktiviti sel tulang : kajian in vitro
Authors: Noor Suhaili Mohd Sofi (P83546)
Supervisor: Ahmad Nazrun Shuid, Prof. Dr.
Isa Naina Mohamed, Prof. Madya. Dr.
Keywords: Bone and Bones -- physiology
Bone Resorption
Plants, Medicinal
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 27-Aug-2018
Abstract: 5,10-Pentadesenil resorsinol merupakan kumpulan fenolik alkena yang dipencilkan daripada fraksi diklorometana ekstrak akueus daun Labisia pumila var. alata (LPva). Ia mempunyai struktur kimia yang serupa dengan estrogen yang mempunyai sepasang kumpulan hidroksil dan cincin fenol, yang dipercayai bertanggungjawab dalam melindungi tulang daripada osteoporosis. Kajian awal telah mempamerkan kesan perlindungan LPva terhadap model tikus osteoporosis. Objektif kajian ini adalah untuk menentukan kesan 5,10-Pentadesenil resorsinol ke atas pembentukan tulang oleh sel osteoblas dan resorpsi oleh sel osteoklas dengan menggunakan analisis in-vitro. Sel kawalan positif dirawat dengan 17-beta estradiol (E2) manakala sel kawalan normal tidak dirawat. Dengan menggunakan asai MTS, kesan proliferasi 5,10-Pentadesenil resorsinol ke atas osteoblas diperhatikan pada kepekatan 0.02-0.6 µg/ml. Untuk E2, kesan proliferasi diperhatikan pada kepekatan 0.002-0.1 µg/ml. Bagi pembentukan tulang, alkali fosfatase (ALP) diukur kerana ia merupakan penanda awal bagi fenotip osteoblas. Kandungan kolagen jenis 1 diukur secara kuantitatif dengan pewarnaan Sirius red pada hari ke 3, 7 dan 15. Keputusan menunjukkan intensiti warna merah meningkat pada sel yang dirawat dengan 5,10-Pentadesenil resorsinol (0.4 dan 0.6 µg/ml) dan E2 (0.004 dan 0.006 µg/ml) berbanding sel kawalan normal. Proses pemineralan dinilai pada hari ke 9, 18 dan 24; dimana endapan kalsium meningkat melalui pewarnaan Alizarin red dan endapan fosfat meningkat melalui pewarnaan von Kossa pada kumpulan rawatan berbanding sel kawalan normal. Aras kalsium dan fosfat meningkat secara signifikan pada kumpulan rawatan berbanding sel kawalan normal. Bagi aktiviti resorpsi tulang, pewarnaan asid fosfatase resistan tartrat (TRAP) pada sel multinukleus adalah lebih rendah pada sel yang dirawat berbanding sel kawalan normal. Asai asid fosfatase, yang digunakan untuk mengukur aktiviti osteoklas didapati telah menurun secara signifikan pada kumpulan rawatan berbanding sel kawalan normal. Aktiviti resorpsi tulang juga dinilai melalui pembentukan pit. Fotomikrograf osteoklas menunjukkan kumpulan rawatan dengan 5,10-Pentadesenil resorsinol dan E2 mempunyai pit yang lebih kecil berbanding dengan kawalan normal. Kulturan bersama osteoblas dan osteoklas mengurangkan bilangan osteoklas pada kumpulan rawatan berbanding sel kawalan normal. Kesimpulannya, 5,10-Pentadesenil resorsinol yang dipencilkan daripada daun LPva dapat meningkatkan aktiviti pembentukan tulang dan mengurangkan aktiviti resorpsi tulang.
Pages: 55
Call Number: QV20.5.N818k 2018 9HUKMPRA tesis
Publisher: UKM, Kuala Lumpur
Appears in Collections:Faculty of Medicine / Fakulti Perubatan



Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.