Please use this identifier to cite or link to this item: http://ptsldigitalv2.ukm.my:8080/jspui/handle/123456789/773296
Title: Rangka kerja reka bentuk tugasan makmal bahasa pengaturcaraan berorientasi objek berasaskan teknologi persuasive
Authors: Elly Johana Johan (P61095)
Supervisor: Sufian Idris, Prof. Madya. Dr.
Keywords: Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 18-Nov-2021
Abstract: Satu kaedah untuk menilai, kefahaman pelajar dalam pembelajaran pengaturcaraan berorientasi objek (OOP) adalah melalui tugasan pengaturcaraan yang biasanya dijalankan semasa sesi makmal. Walaupun banyak contoh dan latihan dibincangkan semasa kuliah, pelajar masih mempunyai masalah untuk menulis kod atur cara secara individu. Secara tradisional, tugasan makmal OOP yang diberikan kepada pelajar adalah dalam bentuk huraian berasaskan masalah. Masalah biasanya dihuraikan seperti dalam buku teks tanpa sebarang bimbingan untuk membantu pelajar menyelesaikannya. Kajian kesusasteraan mendapati pelajar yang disuruh menulis atur cara lengkap berada dalam keadaan dibelenggu tekanan, tidak pasti bagaimana untuk bermula, dan terkapai-kapai tanpa tujuan. Justeru penyelidikan ini mengetengahkan konsep baharu dalam penyediaan tugasan makmal OOP. Penyelidikan ini mempunyai objektif utama untuk membina reka bentuk dan rangka kerja tugasan makmal bagi kursus pengaturcaraan berorentasi objek menggunakan teknologi persuasif. Penyelidikan ini dilaksana menerusi empat kitaran kajian tindakan yang dimulakan dengan analisis situasi semasa yang melibatkan kajian teori. Kitaran kedua merupakan penambahbaikan implementasi yang melibatkan proses pembangunan rangka kerja dan pembangunan tugasan makmal pengaturcaraan berorientasi objek. Model Penjelasan Kemungkinan (ELM) persuasif digunakan untuk mereka bentuk rangka kerja makmal OOP yang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu kandungan dan konteks. Setiap komponen rangka kerja dipetakan kepada sepuluh prinsip teknologi persuasif. Ia melibatkan lima prinsip dari kategori Sokongan Tugasan Utama iaitu kesepadanan, keringkasan, kekhususan, pemantauan diri dan simulasi. Tiga prinsip dari kategori Sokongan Dialog iaitu kesukaan, cadangan dan persamaan manakala dua prinsip lagi adalah kepakaran dan kerjasama masing-masing dari kategori Sokongan Kredibiliti Sistem dan Sokongan Sosial. Seterusnya, tugasan makmal OOP direka bentuk berdasarkan rangka kerja yang telah dibangunkan. Ia melibatkan penggabungan pendekatan berpandu, berperingkat, dan lelaran. Kitaran ketiga merupakan kitaran kajian perubahan yang melibatkan proses penilaian dan kitaran keempat merupakan tindakan penambahbaikan berterusan yang melibatkan pembangunan E-Lembaran Kerja. Satu eksperimen yang melibatkan seramai 190 pelajar yang mewakili 94% daripada keseluruhan pelajar telah dijalankan. Mereka memberi maklum balas mengenai tugasan makmal OOP persuasif yang diberikan kepada mereka. Secara purata, 80% pelajar bersetuju bahawa setiap komponen tugasan makmal tersebut memberi impak positif kepada mereka mengikut prinsip persuasif yang berkaitan. Hasil kajian menunjukkan bahawa rangka kerja yang dibina boleh dijadikan panduan bagi menghasilkan tugasan makmal OOP persuasif yang sekali gus boleh mengubah sikap menjadi lebih positif, bermotivasi dan bertanggungjawab di dalam menyelesaikan tugasan makmal OOP.
Description: Full-text
Pages: 353
Call Number: FTSM
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Information Science and Technology / Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
RANGKA KERJA REKA BENTUK TUGASAN MAKMAL BAHASA.pdf
  Restricted Access
6.06 MBAdobe PDFView/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.