Please use this identifier to cite or link to this item: http://ptsldigitalv2.ukm.my:8080/jspui/handle/123456789/604019
Title: Pelaksanaan dasar pendidikan inklusif murid berkeperluan pendidikan khas sekolah rendah di Malaysia
Authors: Nazmin Abdullah (P91762)
Supervisor: Mohd Hanafi Mohd Yasin, Prof. Madya Dr.
Hasnah Toran, Prof. Madya Dr.
Keywords: Inclusive education
Special education
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 15-Feb-2023
Abstract: Dasar pendidikan inklusif (PI) merupakan salah satu inisiatif menyediakan akses pendidikan berkualiti untuk murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) di Malaysia. Pelaksanaan dasar PI terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan masih dalam proses pelaksanaan di seluruh negara. Kajian ini bertujuan untuk meneroka pelaksanaan dasar PI MBPK sekolah rendah di Malaysia berdasarkan pengalaman dan peranan pihak berkepentingan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. Objektif kajian ini meneroka pelaksanaan dasar PI, faktor penghalang dan faktor penyokong serta cadangan penambahbaikan dasar PI MBPK sekolah rendah di Malaysia. Kajian pelbagai kes ini menggunakan pendekatan kualitatif, melibatkan 14 orang peserta kajian yang terdiri daripada pelbagai lapisan pihak berkepentingan; 2 orang pembuat dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), 2 orang pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), 2 orang pentadbir sekolah, 2 orang guru pendidikan khas, 2 orang guru aliran perdana, 2 orang ibu bapa MBPK, seorang wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seorang wakil komuniti. Data dikumpul menggunakan temu bual separa berstruktur, disokong dengan analisis dokumen dan jurnal refleksi. Semua data dianalisis dengan menggunakan perisian ATLAS.ti bagi menyusun tema dan kategori. Hasil kajian mendapati terdapat 5 tema utama iaitu kerjasama dan komunikasi, keyakinan, persepsi dan sikap, pengurusan dan sumber, kewangan dan infrastruktur. Selain itu, kesukaran mendapatkan definisi PI yang diterima umum berlaku kerana konsep PI yang bergantung kepada konteks tempatan dan diterjemah serta diteorikan dalam pelbagai cara memberi implikasi kepada penggubalan dasar itu sendiri. Kekurangan guru yang berkelayakan dan kekangan kesediaan guru untuk mengajar MBPK di kelas PI menyukarkan ruang kerjasama dan perkongsian tanggungjawab di antara guru aliran perdana dan guru pendidikan khas. Isu penyediaan infrastruktur dan peranti sokongan turut merumitkan proses pembelajaran MBPK. Sikap komuniti umum turut menjadi faktor penting dalam menyokong atau menghalang pelaksanaan dasar PI MBPK di sekolah rendah yang pada masa yang sama mempengaruhi sikap murid tipikal dan komuniti sekolah. Dapatan kajian menunjukkan pelaksanaan dasar PI MBPK sekolah rendah di Malaysia secara umumnya dijalankan secara ‘top-down’ dimana perancangan dasar dibuat oleh pihak pembuat dasar KPM yang kemudiaannya diperturunkan kepada JPN, pentadbir sekolah dan akhir sekali kepada warga sekolah. Kaedah ‘top-down’ jelas menunjukkan kelemahan kerana wujudnya jurang di antara hasrat pembuat dasar KPM dengan kemampuan dasar dilaksanakan di peringkat pelaksana. Pelbagai faktor penyokong dan penghalang turut dikenal pasti dalam kajian ini, antaranya penyediaan latihan guru dan infrastruktur yang masih tidak mencukupi dan memberi kesan kepada kelancaran pelaksanaan dasar PI dan pencapaian KPI penyertaan MBPK yang telah ditetapkan dalam PPPM pada 2025. Hubungan kerjasama dan komunikasi yang berkesan perlu diterapkan bagi melicinkan pelaksanaan dasar PI kerana walaupun pihak KPM telah menyediakan garis panduan sebagai rujukan pelaksanaan, persediaan rapi perlu dilakukan terlebih dahulu supaya pihak pelaksana tidak merasa terbeban. Kesimpulannya, walaupun masih banyak kekangan wujud dalam pelaksanaan dasar PI MBPK sekolah rendah di Malaysia, didapati semua pihak berkepentingan menaruh harapan yang tinggi keatas kejayaan dasar ini kerana manfaatnya yang sangat besar kepada MBPK khususnya dan seluruh ahli masyarakat umumnya.
Pages: 341
Call Number: LC1200.N339 2023 tesis
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Education / Fakulti Pendidikan

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
Pelaksanaan dasar pendidikan inklusif murid berkeperluan pendidikan khas sekolah rendah di malaysia.pdf
  Restricted Access
Partial648.53 kBAdobe PDFView/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.